SYEIKH
Sya'rawi berkata : "Sesungguhnya risalah yang dibawa Rasulullah SAW amat
jelas. Inilah yang termaktub dalam kitab Samawi. Maka apakah yang menjadikan
kamu hai ahli Kitab, tidak beriltizam jalan kebenaran sedangkan kamu menjadi
saksi? Sudah pasti telah disentuh kepada mereka syubhah. Sesungguhnya Allah
tidak lupa apa yang mereka lakukan."
Ayat 100
Firman
Allah SWT yang bermaksud : Wahai
orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang
(Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu, nescaya mereka akan
mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.
Sebab
Nuzul
Mengikut
riwayat Zaid bin Aslam kerana adanya peristiwa kegemparan besar di antara
orang-orang Ansar. Iaitu orang-orang Yahudi (seperti Syas bin Qis) cuba
memecahbelahkan persatuan dan kerukunan antara orang-orang Ansar Madinah.
Mereka itu telah mengungkit sejarah permusuhan dan peperangan kedua-dua suku
orang-orang Ansar yang terdiri dari suku al-Aus dan al-Khazraj yang terjadi
kira-kira 120 tahun sebelum kebangkitan Nabi SAW yang lalu. Kejadian membangkitkan
permusuhan antara suku-suku tersebut telah menjadikan kegemparan besar hampir
mengakibatkan pertumpahan darah di antara orang-orang Ansar.
Iktibar
dan fiqh ayat :
i.
Ibnu Kathir berkata : "Allah memberi ancaman dan amaran kepada
hamba-hamba-Nya yang beriman supaya jangan mentaati golongan ahli Kitab yang
berhasad dengki terhadap orang yang beriman."
ii.
Ibnu Jauzi berkata : "Kebanyakan ahli tafsir berpendapat ayat ini
ditujukan kepada Aus dan Khazraj. Zaid bin Aslam berkata dikehendaki kumpulan ialah
Syas bin Qis al-Yahudi dan sahabat-sahabatnya."
iii.
Syeikh Sya'rawi berkata : "Orang kafir sentiasa tidak tenang dengan
ayat-ayat Allah melainkan cuba menggugat orang beriman pada agama mereka."
iv.
Al-Maraghi berkata : "Wahai orang yang beriman, jika kamu mendengar
sesuatu perbicaraan yang menimbulkan fitnah daripada golongan Yahudi, lalu kamu
berbicara lemah lembut dengan mereka dan bersetuju dengan apa yang diserukan
kepadamu nescaya kamu akan kembali menjadi kafir semula padahal sebelum ini kamu
sudah beriman. Kekufuran menyebabkan kerugian di dunia dan akhirat. Di dunia
ialah timbulnya permusuhan dan kebencian serta berkobarnya fitnah, sehingga
menimbulkan peperangan. Di Akhirat tidak perlu diberi penjelasan lagi."
Ayat 101
Firman
Allah SWT yang bermaksud : Dan bagaimana
kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah
(Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada Rasul-Nya (Muhammad SAW)? Dan sesiapa
berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh
petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).
Iktibar
dan fiqh ayat :
i.
Ibnu Kathir berkata : "Berpegang dengan Allah, bertawakal kepada-Nya
adalah pokok serta asas dalam hidayah, di samping itu ia menjadi bekalan untuk
menjauhkan kesesatan dan wasilah kepada petunjuk."
ii.
Ibnu Qutaibah berkata : "Siapa yang enggan atau menegah iaitu yang
benar-benar berpegang dengan Allah sudah pasti mendapat petunjuk ke jalan yang
lurus."
iii.
Al-Maraghi berkata : "Barang siapa berpegang teguh dengan agama Allah SWT,
kitab-Nya, dan Rasul-Nya nescaya dia akan memperoleh petunjuk ke jalan yang
lurus. Ibaratnya kamu berkata kepada temanmu: "Jika aku mendatangi si
fulan, tentulah aku akan gembira kerana ketika itu dia sedang berada di ambang
kebinasaan dan perasaan kebimbangan tidak mempengaruhinya lagi."
iv.
Qatadah berkata : "Pada ayat ini disebutkannya dua perkara yang dapat
mencegah seseorang daripada terjerumus ke lembah kekafiran. Pertama, dengan
cara membaca kitab Allah yang benar. Kedua, perutusan rasul kepada mereka.
Meskipun Rasulullah SAW telah pergi menghadap Allah SWT, namun al-Quran tetap
kekal sampai tibanya Hari Kiamat."
v.
Al-Sonhadji berkata : "Pertanyaan yang dikemukakan oleh Allah dalam ayat
ini merupakan "Istifham Ta'ajub dan Taubikh"ertinya
pertanyaan yang mengandungi rasa kehairanan dan celaan ditujukan kepada
sahabat-sahabat Nabi kaum Ansar daripada suku kaum al-Aus dan al-Khazraj yang
disebutkan kisahnya dalam huraian ayat yang lalu."
vi.
Muhammad Quraish Shihab berkata: "Penutup ayat ini memberi isyarat bahawa Rasulullah
SAW akan meninggalkan mereka. Namun kesesatan tidak akan menyentuh mereka
selama berpegang teguh dengan kitab suci al-Quran dan sunah Rasulullah SAW
walaupun baginda telah pergi meninggalkan sekalian manusia."
Marilah
kita berpegang teguh dengan ajaran Islam iaitu mengikut al-Quran dan sunnah
Nabawiyah yang menjadi sumber utama bagi mencapai hidayat Allah. Inilah
sebesar-besar nikmat. Semoga kita mencapainya. Amin.
No comments:
Post a Comment