Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. “Engkaulah (Wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup daripada benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati daripada sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya. (Ali Imran: 26-27)
Al-MARAGHI berkata: "Perbincangan yang lalu tentang dakwah Nabi Muhammad SAW terhadap kaum Musyrikin dan Ahli Kitab. Malangnya golongan Musyrikin menentang Baginda lantaran perilakunya sebagai manusia yang makan dan berjalan ke pasar. Keingkaran yang ditunjukkan oleh mereka turut berlaku terhadap para Nabi yang sebelumnya. Cuma berbeza sedikit, kerana golongan Ahli Kitab menunjukkan sikap mengingkari Nabi yang bukan datang daripada kalangan Bani Israel .
Justeru, turunnya ayat di atas bagi menghiburkan Nabi Muhammad SAW yang sedang menghadapi penderhakaan dan kesombongan mereka. Di samping itu juga, untuk mengingatkan Baginda SAW bahawa Allah SWT sahaja Yang Maha Berkuasa memberi pertolongan kepada Baginda SAW dan meninggalkan agama-Nya.
Dalam situasi ini, seolah-olah Allah SWT berfirman kepada Baginda: "Seandainya golongan penderhaka itu menolak ajakan kamu, tidak mahu tunduk kepada kebenaran, manakala kaum Musyrikin pula masih berkelakuan bodoh (jahil), sementara Ahli Kitab dengan sifat takburnya, wajarlah kamu memohon perlindungan daripada Allah SWT, berdoa, menyatakan pujian, sentiasa mengingati bahawa segala urusan berada ditangan-Nya. Sesungguhnya Allah SWT berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya.
Sebab Nuzul Surah Ali Imran: 26
Al-Wahidi meriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan Anas Ibnu Malik bahawa sewaktu Rasulullah SAW menakluk kota Mekah, Baginda menjanjikan kerajaan Parsi dan Romawi akan mereka kuasai. (Mendengarkan janji ini), golongan munafik berkata: "Mustahil! Mustahil! Bagaimana Baginda boleh menguasai kerajaan Rom dan Parsi, kerana mereka memiliki kekuasaan dan kelengkapan yang banyak. Adakah Nabi Muhammad SAW masih berasa tidak cukup dengan kejayaan menguasai Mekah dan Madinah, dan mahu ditambah lagi dengan menakluk Parsi dan Romawi?" Sebagai menjawab ejekan mereka itu, Allah SWT menurunkan ayat ini.
Iktibar dan fiqh ayat:
Ibnu Kathir berkata: "Ayat ini menyuruh Muhammad SAW untuk membesarkan Tuhan-Nya, bersyukur dan berserah kepada-Nya. Ayat ini sebagai satu peringatan dan petunjuk supaya bersyukur atas nikmat Allah SWT kepada Rasul-Nya dan umat ini kerana Allah SWT telah menukar keNabian kepada Nabi berbangsa Arab dan menjadikannya Rasulullah SAW kepada manusia dan jin serta dikurniakan banyak keistimewaan yang tidak dikurniakan kepada nabi sebelumnya.
Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya kemuliaan dan kehinaan mempunyai pengaruhnya masing-masing. Bagi golongan yang mulia, mereka mempunyai pengaruh, memiliki sahabat handai yang ramai, segala kebesaran atau ilmu yang dimilikinya dapat memberi kesan terhadap jiwa orang lain. Dalam pada itu, rezekinya banyak mencurah, dan bersikap dermawan kepada orang lain."
Ibnu Abbas menafsirkan al-Mulk iaitu kekuasaan ialah al-Nubuwah atau keNabian.
Hamka berkata: "Maka di dalam rangka kekuasaan Allah SWT, dicabutlah nikmat kekuasaan itu daripada Bani Israel. Allah SWT Maha Berkuasa mewujudkan Dunia Baru, yang membuatkan revolusi dalam alam pemikiran manusia dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW yang mulia timbul dari suatu daerah tandus dan gersang di padang pasir, di lembah yang tiada tumbuh-tumbuhan."
Seorang pujangga Inggeris yang terkenal, Thomas Carlyle berkata: "Dengan berkat ajaran Nabi Muhammad SAW dan kedatangannya, maka padang pasir yang kering berubah menjadi subur yang membakar susunan masyarakat lama, dari Barat sampai ke Cordova, Timur sampai ke Delhi. Dia telah mendirikan pusat-pusat kebudayaan dan peradaban di Damsyik, Baghdad, Kaherah, Samarkand, Delhi sampai ke pulau-pulau daerah Khatulistiwa."
Hamka berkata: "Adapun ulama-ulama yang lemah jiwanya, otaknya hanya penuh dengan ilmu-ilmu agama inilah yang kerap kali terjual dan tergadai ke dalam istana raja-raja dan pembesar-pembesar tertinggi. Kalau ada ulama sebegini pembesar-pembesar itu berasa lega berbuat maksiat dalam negara, menindas rakyat, menghisap darah dan mengganggu rumah tangga orang lain. Ini berlaku kerana ulama yang seharusnya menegur perihal pembesar sudah tiada lagi. Mulut-mulut mereka telah disumbat dengan segala macam kemewahan dunia yang sementara."
Mohamad Quraish Shihab berkata: "Dengan menyebut nama Allah SWT, yang lafaz-Nya menyiratkan makna ketaatan dan ibadah hanya wajar diarahkan kepada-Nya semata, pengucap doa ini diharapkan dapat meraih kekhusyukan serta menyandangkan segala sifat terpuji kepada Allah SWT dan menyucikan-Nya daripada segala sifat tercela. Dengan menyeru Malik al-Mulk diharapkan dapat tercermin kekuasaan dan kebesaran Allah SWT, serta kelemahan seluruh makhluk di hadapan-Nya."
Penulis berpendapat jelas menunjukkan betapa kuasanya Tuhan dalam melakukan apa sahaja. Justeru, taat dan patuh kepada-Nya.
Surah Ali Imran: 27
Iktibar dan fiqh ayat:
Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT yang mengeluarkan benih-benih tanaman sehingga membesar yang asalnya daripada sebiji benih, begitu juga mukmin daripada kafir dan kafir daripada mukmin, ayam daripada telur dan telur daripada ayam. Begitulah yang berlaku kepada seluruh alam. Ini melambangkan daripada hikmah iradah dan kehendak Allah SWT.
Al-Maraghi berkata: "Sebagaimana yang sehari-hari terjadi bahawa yang hidup dapat tumbuh kerana minum susu dan lain-lain, sedangkan makanan itu adalah benda yang mati menjadi bahan makanan untuk menumbuhkan badan, merupakan tanda yang paling penting untuk membezakan benda yang hidup daripada benda yang mati.
Para biologi telah mengatakan, misalnya ulat yang memakan daun dan daun ini berubah menjadi dagingnya. Ini merupakan tanda yang paling penting bahawa ulat itu hidup. Begitu juga bayi yang meminum susu merupakan benda yang mati kemudiannya berubah menjadi tubuh yang hidup.
"Segala urusan berada di bawah kekuasaan Engkau, dan tiada apa pun yang dapat mengatasi kekuasaan-Mu dan mengadili-Mu. Hanya Engkaulah Yang Maha Berkuasa untuk mencabut kekuasaan daripada orang yang berada di luar Islam dan menjadikan mereka hina. Sesungguhnya Engkau telah berikan kekuasaan itu kepada umat Islam dan Engkau jadikan mereka sebagai golongan yang mulia."
Hamka berkata: "Apabila Allah SWT menyuruh Rasul-Nya membaca ayat ini sebagai doa akan terlepaslah kita daripada suasana terumbang-ambing melihat perubahan keadaan dan suasana di dalam alam ini. Maka wujudlah rasa Tauhid iaitu menghimpunkan kekuasaan dan kemuliaan kepada Allah SWT. Maka bersyukurlah kepada Allah SWT ketika diberi-Nya kurnia dan bersabarlah atas dugaan-Nya."
Syeikh Mutawalli al-Sya'rawi berkata: "Allah SWT tidak membuat kadar siang untuk setiap waktu persis sama; kadang-kadang siang berkurang sekian jam, malam pun begitu jua. Namun, pengurangan itu tidak sekali gus, melainkan sedikit demi sedikit. Memang ada saat-saat perhentian antara pergantian jarum minit ke minit berikutnya, tetapi sebenarnya waktu bergerak setiap minit, bahkan setiap detik walau kita tidak melihat atau menyedarinya.
Kita tidak menyedari pertumbuhan anak yang kita lihat setiap saat, ini berbeza kalau kita meninggalkannya sebulan atau dua bulan. Ia sebenarnya akan membesar setiap detik. Oleh yang demikian, merupakan suatu pengaturan yang amat teliti, yang tidak dapat dilakukan kecuali oleh Allah SWT yang menjadikan malam ke dalam siang dan menjadikan siang ke dalam malam.
Kalau keadaan anak merupakan contoh daripada yang kecil menjadi besar, maka yang besar pun dapat mengecil. Manusia tidak memiliki kemampuan untuk mengamatinya secara langsung. Al-Sya'rawi memberi contoh tentang hal ini dengan gambar New York yang diambil oleh satelit. Begitu jugalah contoh yang telah dihuraikan secara panjang lebar oleh kami."
Syeikh Mutawalli al-Sya'rawi berkata: "Kebanyakan orang tidak mengetahui bahawa dalam satu butir tumbuhan terdapat kehidupan, dan ia berpotensi untuk tumbuh berkembang. Mereka juga seringkali tidak menyedari perbezaan antara hidup dan potensi hidup. Biji kurma yang ditanam akan tetap menjadi biji sampai ia ditanam dalam satu lingkungan yang sesuai.
Bahkan lanjut al-Sya'rawi mengutip pendapat ilmuwan, potensi gerak yang terdapat pada butir-butir kepala sebatang korek api pun berpotensi menggerakkan kereta api mengelilingi dunia sekian tahun lamanya."
Dalam ayat ini menggambarkan betapa kuasa Allah SWT tiada mungkin ditandingi oleh mana-mana makhluk. Oleh itu marilah sama-sama menjadi hamba-Nya yang benar-benar patuh kepada-Nya.
No comments:
Post a Comment